LABUAN, 24 Disember- Terminal Feri (Roll-On Roll-Off) Ro-Ro Labuan dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan masih sibuk menjelang sambutan perayaan Krismas esok.
Tinjauan RTM mendapati penumpang dan kenderaan masih beratur untuk keluar ke Sabah dan Sarawak, walaupun disaat akhir.
Pengurus Jutabunos Development Sdn Bhd, Lo Pei Ling berkata, sejak minggu lepas, lebih 10,000 penumpang dan 5,000 kenderaan keluar masuk dari Labuan ke Menumbok, Sabah dan sebaliknya.
Beliau berkata ia dijangka sibuk sehingga awal tahun hadapan.
"Memang musim yang sibuk, sebab cuti sekolah sehingga 29 Disember, ada juga yang ambil kesempatan selepas cuti sekolah, baharu bercuti. Hari ini masih penuh, esok pun penuh, 26 pun masih penuh, sebab ada juga famili dari Sabah melawat ke Labuan", katanya kepada RTM.
Tambahnya, 13 perjalanan pergi dan balik feri ro-ro termasuk feri tambahan disediakan bagi menampung keperluan itu. Kesesakan sama juga berlaku di terminal feri dan bot laju.
Pengguna juga disaran datang lebih awal bagi memastikan urusan keluar masuk berjalan lancar.