fb fb fb fb fb

'Terkejut, tak sangka dapat bantuan RM500 ' - Penjawat awam

Penjawat awam daripada Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi ketika ditemui di Putrajaya

KUALA LUMPUR, 1 April - Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 bukti kerajaan sentiasa perihatin dan menghargai komitmen kerja penjawat awam.

Rata-rata penjawat awam yang ditemui Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi, Putrajaya berkata, sudah semestinya bantuan itu akan dimanfaatkan sebaiknya untuk persiapan menyambut hari raya Aidilfitri yang semakin hampir.

"Sedikit sebanyak persiapan raya sudah tentu raya kali ini lebih meriah dengan bantuan RM2,000 tempoh hari dan kali ini RM500, Alhamdulillah terima kasih Perdana Menteri," kata Norisam Sahidan.

"Alhamdulillah saya pun teruja sebab sedikit sebanyak dapat membantu saya sebagai penjawat awam gred 56 ke bawah. Jadi saya rasa bersyukur atas bantuan Hari Raya yang diberikan, Insya-Allah Raya kali ini lebih bermakna," kata Muhammad Muizzuddin.

"Tak sangka dan memang terkejut sangat tapi itu rezeki daripada Allah pada bulan Ramadan yang mulia ini. Kita dapat sama-sama berkongsi dan semoga apa yang diberikan itu dapat manfaat kepada kita semua," kata Hamidah Mokhtar.

"Alhamdulillah pertama sekali saya rasa bersyukur dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri tadi. Saya sebagai seorang penjawat awam yang masih lagi baru dalam sektor ini saya rasa bonus ini sangat membantu kami penjawat awam menjalani kehidupan terutamanya nak hadapi musim Raya.

"Banyak kos yang kita nak keluarkan secara tidak langsung wang tersebut boleh membantu kita sebenarnya," kata Nurin Nabeeha Ramlan.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan BKK Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar pada Jumaat ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju menyalurkan BKK Aidilfitri RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

Berbeza dengan tahun lalu, kerajaan menyalurkan sebanyak RM700 BKK kepada semua penjawat awam termasuk lantikan kontrak.

Pesara perkhidmatan awam pula menerima BKK sebanyak RM350.

GRACE AISYAH KEDAYAN