fb fb fb fb fb

Terjatuh ketika memancing: Mayat Azri Fahmi ditemukan terapung

Mayat ditemukan pada jarak 900 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh/Foto Bomba Pahang

JERANTUT, 6 Januari - Mayat remaja yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari rumah rakit ke dalam Sungai Pahang di Kampung Jerantut Feri, Jerantut ditemukan pagi tadi.

Pencarian yang memasuki hari ketiga menemukan mayat Azri Fahmi Bahiudin Zaiful Afindi, 14 tahun pada pukul 7.45 pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat JBPM Negeri Pahang,Mohd Salahuddin Isa berkata, mayat dijumpai ketika dua anggota bomba melakukan rondaan pagi menaiki bot.

"Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung pada jarak 900 meter daripada dia dilaporkan terjatuh dan di serahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Sabtu lalu, remaja lelaki itu dilaporkan sedang memancing bersama dua rakannya di rumah rakit telah tergelincir ke dalam sungai dan hilang dibawa arus deras Sungai Pahang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilakukan termasuk menggunaan khidmat dua anjing pengesan, Grouse dan Lady bagi membantu operasi.

GRACE AISYAH KEDAYAN