fb fb fb fb fb

Terjatuh dari kerusi bayi, kanak-kanak 2 tahun meninggal dunia

JOHOR BAHRU, 5 Oktober - Seorang kanak-kanak berusia dua tahun meninggal dunia selepas kepalanya terhentak ketika jatuh dari kerusi bayi di sebuah restoran sekitar Taman Sutera di sini, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang, kanak-kanak itu sedang makan bersama keluarganya di restoran berkenaan.

"Siasatan awal mendapati, sewaktu makan mangsa menolak meja menggunakan kakinya.

"Kerusi bayi yang diduduki mangsa terjatuh dan kepala mangsa terhentak di lantai.

"Kejadian tersebut menyebabkan mangsa menangis dengan kuat lalu pengsan," katanya melalui kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kejadian turut disaksikan pekerja restoran terbabit sebelum bapa kanak-kanak itu bergegas membawanya ke klinik swasta, namun dinasihatkan doktor untuk dihantar terus ke hospital berikutan keadaannya dilihat serius.

"Bapa kanak-kanak itu kemudian membawanya ke sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas," katanya.

Mayat kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Menurutnya tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Media Baharu