fb fb fb fb fb

'Terima kasih PM, bantuan ini ringankan beban' - Penjawat awam Pahang

Mohd Jeffri Abdul Rashid, Fadillah Shaharuddin, Jamar Ali dan Afeefa Aqeela Azman/RTM

KUANTAN, 22 Mac- Penjawat awam di Pahang yang ditemui RTM hari ini menyambut baik pengumuman Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM500 yang akan disalurkan minggu depan.

Mereka menyifatkan bantuan itu sebagai satu kelegaan terutama dalam menghadapi persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Seorang penjawat awam, Mohd Jeffri Abdul Rashid berkata bantuan yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat membantu dalam perbelanjaan keluarga.

"Bantuan yang diumumkan Perdana Menteri ini sangat membantu terutama bagi saya yang perlu menyediakan keperluan untuk anak-anak dan isteri serta menghadapi kos perbelanjaan raya," katanya.

Seorang lagi penjawat awam, Fadillah Shaharuddin menzahirkan penghargaan atas inisiatif kerajaan yang membolehkannya menampung kos perjalanan pulang ke kampung.

"Terima kasih kepada Allah kerana membuka hati Perdana Menteri untuk memberikan bantuan ini. Ia sangat membantu saya menampung perbelanjaan tol dan minyak untuk pulang beraya," katanya.

Sementara itu, Jamar Ali menyifatkan bantuan tersebut sebagai suatu kelegaan dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup menjelang Aidilfitri. "Bantuan ini sangat bermakna terutama bagi mereka yang perlu menyediakan keperluan dapur dan persiapan raya," katanya.

Bagi Afeefa Aqeela Azman, BKKA yang diumumkan itu sedikit sebanyak dapat membantu dalam perbelanjaan balik kampung serta persiapan raya.

"Walaupun dalam kesederhanaan, kita tetap ingin membuat persiapan Aidilfitri. Dengan harga barang yang meningkat, bantuan ini sangat membantu," ujarnya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan BKK RM500 kepada penjawat awam Gred 15 ke bawah manakala RM250 kepada pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen melibatkan peruntukan mencecah RM900 juta.

Beliau turut mengumumkan BKKA RM250 kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut di seluruh negara dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM17 juta.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA