KUALA NERUS, 5 Oktober - Terengganu menghargai usaha kerajaan dalam menangani isu membebaskan 23 aktivis Global Sumud Flotila (GSF) dari Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan dalam menghantar bantuan makanan dan perubatan di Gaza.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kejayaan itu mencerminkan komitmen dan keprihatinan berterusan kerajaan dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di luar negara sentiasa terpelihara.
"Sudah tentu kita mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah memainkan peranan penting, dan kita sama-sama mendoakan agar semua yang terlibat selamat tiba di tanah air.
"Sebenarnya, sudah menjadi tanggungjawab setiap negara untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya ada rakyat mereka yang ditahan di mana-mana tempat, bukan hanya di Israel sahaja dalam kes flotila ini, tetapi juga di mana-mana lokasi lain di seluruh dunia.
"Apabila berlaku sesuatu insiden, setiap negara bertanggungjawab mengambil langkah bagi menyelamatkan atau membawa pulang rakyat mereka dari kawasan berkenaan. Inilah pendekatan yang bersifat universal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Pusat Cari Kerja Terengganu dan Karnival Kesejahteraan Pekerjaan dan Keusahawanan 2025 di sini.
Mengenai status aktivis GSF yang melibatkan anak-anak Terengganu, terdapat usaha berterusan untuk menghubungi mereka melalui pelbagai saluran termasuk badan bukan kerajaan (NGO).
Setakat ini, anak-anak Terengganu yang menyertai misi itu dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan selamat.
Aktivis yang terlibat dari Terengganu ialah Norfarahin Romli atau lebih dikenali Farah Lee, Muhammad Rusydi Ramli, Razali Awang, Muhammad Abdullah atau lebih dikenali Ustaz Mad Kecil, dan Muhammad Asmawi Mokhtar.
Kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi itu kini berada di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan daripada tahanan tentera Israel, dan dijadualkan berlepas pulang ke tanah air esok, menurut Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.