
PETALING JAYA 11 Februari – Usaha memperkukuh kedudukan syarikat Bumiputera dalam rantaian ekonomi negara terus diperkasa apabila Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) melancarkan empat program baharu bagi mempercepat penskalaan dan penciptaan nilai perniagaan berpotensi tinggi.
- Pelancaran empat program baharu Ascend, Enhance, XCelerate dan BSAF untuk mempercepat penskalaan syarikat Bumiputera.
- Program bertujuan memperkukuh keupayaan perniagaan, meningkatkan kredibiliti dan menarik pelabur serta akses pembiayaan.
- Inisiatif disokong rangkaian strategik, sesi jaringan dan fokus kepada penciptaan nilai mampan serta kesiapsiagaan menuju penyenaraian.
Ketua Pegawai Eksekutif, Junady Nawawi berkata, program dikenali sebagai Ascend, Enhance, XCelerate serta Dana Pengambilalihan Strategik Bumiputera (BSAF) itu dirangka sebagai platform pemudahcaraan berstruktur bersama rakan strategik.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh keupayaan perniagaan, meningkatkan kredibiliti syarikat dan seterusnya menjadikan mereka lebih menarik kepada pelabur.
“Menerusi program ini, syarikat akan lebih bersedia dan layak untuk mengakses pembiayaan daripada institusi kewangan serta dana pembangunan,
“TERAJU bukan sahaja melaksanakan program penskalaan, malah memberi tumpuan kepada peningkatan dan penskalaan nilai secara menyeluruh. Bagi syarikat yang mencapai tahap kesiapsiagaan tertentu, sokongan akan diteruskan ke fasa seterusnya sebagai persediaan ke arah penyenaraian awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian TERAJU Aspirasi Outreach 2026: Merealisasikan Penskalaan Penciptaan Nilai Syarikat Bumiputera, yang disempurnakan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Majlis tersebut menghimpunkan lebih 500 pemain industri termasuk syarikat penerima manfaat, institusi kewangan serta rakan strategik ekosistem.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sehingga kini seramai 840 syarikat Bumiputera menerima manfaat pembiayaan langsung, manakala 418 lagi menerima pemudahcaraan, dengan jumlah sokongan melebihi sasaran RM1 bilion setahun yang ditetapkan.
Beliau berkata, menerusi Dana Pengembangan dan Katalis Bumiputera (BECF) yang diperkenalkan pada akhir 2024, sebanyak RM1.07 bilion telah disalurkan kepada 564 syarikat.
“Melalui Pembiayaan Projek dan Modal Kerja Islamik (i-WCPF) pula, sebanyak RM158.27 juta modal kerja dimanfaatkan oleh 276 syarikat.
“Selain itu, 418 syarikat turut menerima manfaat melalui penyertaan dalam program pemudahcaraan TERAJU. Jumlah keseluruhan ini telah melepasi sasaran tahunan RM1 bilion yang ditetapkan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata TERAJU Aspirasi Outreach 2026 turut menampilkan sesi jaringan strategik melibatkan aspek pembiayaan, infrastruktur, kawal selia, bakat dan kemahiran, teknologi serta pemasaran.
Tambah beliau, platform berkenaan bukan sekadar membantu syarikat berkembang, malah memastikan pertumbuhan tersebut diterjemahkan kepada penciptaan nilai yang nyata dan mampan.
“Nilai ini merangkumi syarikat yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing, berupaya mewujudkan pekerjaan berkualiti, memperkukuh rantaian bekalan tempatan, meningkatkan produktiviti serta menembusi pasaran eksport,” katanya.