fb fb fb fb fb

Tentera Israel berundur, lepas bakar Hospital Al-Shifa

Kerosakan di hospital Al-Shifa selepas tentera Israel berundur dari kompleks yang menempatkan hospital itu/AFP

GAZA, 1 April- Tentera Israel bertindak mengundurkan kereta kebal dan kenderaannya dari kompleks Hospital Al-Shifa, selepas beberapa hari melancarkan operasi ketenteraan.

Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza menerusi kenyataan berkata tentera Israel berundur dari kompleks perubatan Al-Shifa selepas bertindak membakar bangunan kompleks itu sehingga tidak berfungsi.

"Skala kemusnahan di dalam kompleks dan bangunan di sekelilingnya sangat besar", katanya.

Kementerian itu juga memberitahu berpuluh-puluh mayat telah ditemui di kompleks tersebut.

"Berpuluh-puluh mayat, sebahagian daripadanya reput, telah ditemui dari dalam dan sekitar kompleks perubatan Al-Shifa," katanya.

Seorang wartawan AFP yang berada di lokasi kejadian berkata beberapa bangunan di dalam kompleks itu telah rosak, dengan beberapa kawasan menunjukkan kerosakan akibat kebakaran. Beliau turut melihat kereta kebal dan kenderaan berundur keluar.

Bagaimanapun, tentera Israel tidak mengesahkan perkara itu.

Sementara itu, saksi lain memaklumkan, berpuluh-puluh serangan udara dan peluru telah membedil kawasan sekitar kompleks itu.

Tentera zionis melancarkan operasinya pada 18 Mac lalu dan menyifatkan ia sebagai operasi tepat yang menyasarkan kumpulan Hamas yang didakwa beroperasi dari kompleks itu.

Tentera Israel sebelum ini mengatakan 200 pejuang terbunuh dalam pertempuran di dalam dan sekitar Hospital Al-Shifa.

Tentera juga mengeluarkan rakaman yang didakwa menunjukkan senjata dan wang yang dirampas dari hospital yang digunakan oleh Hamas dan satu lagi kumpulan pejuang, Jihad Islam.

Namun, Hamas menafikan beroperasi dari Al-Shifa dan kemudahan kesihatan lain.

Perang Israel-Hamas telah memusnahkan sebahagian besar Gaza, termasuk beberapa kemudahan kesihatan dan menyebabkan kebuluran dalam kalangan penduduk di wilayah itu.-AFP

ROSLINA BINTI DIN