KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menafikan dakwaan bahawa Amerika Syarikat (AS) telah meminta akses eksklusif kepada produk nadir bumi dari Malaysia.
Malah, beliau berkata tiada langsung permintaan daripada AS semasa rundingan tarif dijalankan.
“Saya tidak tahu dari mana datangnya perkara itu kerana terdapat banyak spekulasi.
“Saya boleh sahkan bahawa tiada permintaan daripada AS untuk mendapatkan akses eksklusif kepada produk nadir bumi kita,” katanya pada sidang media apabila ditanya sama ada isu nadir bumi dibangkitkan dalam rundingan tersebut.
Tengku Zafrul menegaskan bahawa tiada perjanjian Malaysia perlu membekalkan nadir bumi secara eksklusif kepada AS atau mana-mana negara lain termasuk negara jiran atau China.
Loji Bahan Termaju Lynas Malaysia berhampiran Kuantan diiktiraf sebagai loji pemprosesan nadir bumi terbesar di dunia yang terletak di luar China.
Kemudahan ini, yang mula beroperasi pada 2012, memproses konsentrat nadir bumi dari lombong Mount Weld di Australia Barat dan membekalkan kepada pelanggan di Asia Timur, AS dan Eropah.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan menggesa tarif sifar untuk komoditi seperti koko, getah dan eksport minyak sawit ke AS.
Beliau berkata sekiranya AS mendapati bahawa produk tersebut tidak dapat dihasilkan di negara mereka, terdapat peluang yang baik untuk dikecualikan daripada tarif sebanyak 19 peratus.- BERNAMA