fb fb fb fb fb

Tengku Permaisuri Selangor titah agar kebajikan ahli PVRTM terus dibela

PUTRAJAYA, 23 Oktober - Penganjuran konsert amal 'The Cloth Concert' dilihat sebagai usaha terbaik mengumpul dana bagi memastikan kebajikan ahli Persatuan Veteran RTM (PVRTM) terus terbela.

Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah hasil sumbangan itu perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk membantu ahli yang memerlukan.

Tambah baginda, aktiviti mencari dana perlu diteruskan berikutan pertambahan ahli PVRTM yang semakin meningkat.

"Dikesempatan ini saya nak mengucapkan tahniah kepada PVRTM yang menganjurkan program amal seumpama ini bagi membantu ahli-ahli yang kurang bernasib baik.

"Selaku penaung persatuan ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana sudi hadir dan membantu menjayakan majlis pada malam ini

"Kepada PVRTM teruskan usaha untuk menyantuni ahli dan kepada penyumbang teruskanlah menyokong ahli PVRTM semoga sumbangan dan jasa baik anda semua mendapat balasan setimpal dan diberkati," titah baginda di Program Kebajikan 'The Cloth Concert' anjuran PVRTM Putrajaya malam tadi.

Konsert itu menggabungkan persembahan penyanyi popular tempatan dengan pertunjukan fesyen berasaskan tekstil tradisional sepeti songket, batik dan tenun.

Antara penyanyi yang membuat persembahan Anuar Zain, Noryn Aziz, Stacy dan Ning Baizura.

Konsert amal kali kedua berskala besar ini bertujuan mengumpul dana dan mengisi tabung kebajikan persatuan itu yang turut dianggotai bekas kakitangan kontrak dan sambilan tidak berpencen.

PVRTM yang didaftarkan pada 1996 kini mempunyai lebih 1,200 ahli daripada semua bidang termasuk penerbitan, teknikal dan perkhidmatan sokongan.

Media Baharu