Tengku Permaisuri Selangor berkenan berangkat ke Program Santuni Bazar Ramadan

Tengku Permaisuri Norashikin (enam, kanan) berkenan berangkat ke Program Santuni Bazar Ramadan 2026 di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam/ BERNAMA

SHAH ALAM, 8 Mac – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, berkenan berangkat ke Program Santuni Bazar Ramadan 2026 di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13, Shah Alam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Baginda berkenan melawat reruai MCMC dan menerima kit Kempen Internet Selamat.
  • Baginda menyantuni usahawan Platform Selangor (PLATS) dan menyampaikan QR PLATS serta sijil penghargaan kepada sukarelawan MySaveFood.
  • MBI peruntuk RM90,000 untuk inisiatif PLATS Belanja, agihan kupon digital RM10 di 26 bazar dijangka tingkatkan kehadiran dan jualan.

Keberangkatan tiba Baginda disambut Exco Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) Selangor, Datuk Saipolyazan M. Yusof serta Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Masdiana Muhamad.

Pada program itu, Baginda berkenan melawat reruai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta menerima kit Kempen Internet Selamat.

Baginda turut menyantuni usahawan di bawah Platform Selangor (PLATS) yang berniaga di bazar berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor Datuk Saipolyazan M. Yusof, dalam sembah taklimatnya berkata, tahun ini sebanyak RM90,000 diperuntukkan menerusi inisiatif PLATS Belanja, iaitu agihan kupon digital bernilai RM10 kepada pengunjung di 26 bazar Ramadan terpilih di Selangor.

Menurutnya, peruntukan itu dijangka mampu meningkatkan kehadiran pengunjung sekali gus membantu menambah hasil jualan peniaga.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan menyampaikan QR PLATS kepada 10 penerima serta sijil penghargaan kepada lima sukarelawan MySaveFood.