Tengku Permaisuri Norashikin berkenan ziarah mangsa pokok tumbang

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menziarahi dua pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terlibat dalam insiden pokok tumbang/ BERNAMA

SHAH ALAM, 18 Februari – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan menziarahi dua pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang terlibat dalam insiden pokok tumbang, di Persiaran Tun Arshad Ayub di Seksyen 7, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tengku Permaisuri Norashikin menziarahi dua pensyarah UiTM yang terlibat insiden pokok tumbang di Hospital Shah Alam.
  • Baginda bertanya khabar, menyampaikan buah tangan dan mendoakan kesejahteraan serta pemulihan mereka.
  • Pihak UiTM mengesahkan kedua-dua mangsa stabil dan dinasihatkan berehat sebelum kembali bertugas.

‎‎Ketibaan Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro-Canselor UiTM pada 2.38 petang di Hospital Shah Alam disambut Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin, serta Pengarah Hospital Shah Alam, Dr Ruzita Othman.

‎‎Dalam pertemuan itu, baginda bertanya khabar kepada kedua-dua mangsa yang juga pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia, selain turut berkenan menyampaikan buah tangan, dan mendoakan kesihatan mereka.

‎‎Sementara itu, Shahrin berkata kedua-dua pensyarah wanita berusia 39 dan 42 tahun itu dilaporkan stabil, serta dijangka dibenarkan keluar dalam beberapa hari lagi.

‎‎Beliau berkata Tengku Permaisuri Norashikin turut berpesan supaya mereka berehat secukupnya dan semoga dapat bertugas semula dengan baik.

‎”Ini disebabkan mereka risau. Semester baharu habis dan sistem permarkahan hendak dilakukan.

“Namun, kami menasihatkan supaya mereka fokus kepada pemulihan diri. Saya menjunjung kasih kepada Tengku Permaisuri yang menzahirkan doa supaya mereka dapat sembuh dan bertugas semula,” katanya.

‎Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai menziarahi dua pensyarah itu, di sini hari ini.

‎‎Sebelum ini, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata dalam kejadian pada Isnin lepas itu mangsa berusia 39 tahun cedera pada bahagian muka dan kepala, manakala seorang lagi cedera pada bahagian pinggang. -BERNAMA