fb fb fb fb fb

Tengku Hassanal kurnia 160 set kerusi menunggu baharu kepada HTAA

Majlis Pengurniaan Kerusi Menunggu kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)

KUANTAN, 28 Mac- Semua pihak bertanggungjawab diminta menjaga Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) agar ia dapat memberikan perkhidmatan terbaik selaku hospital awam buat rakyat di negeri ini.
 
Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut bertitah, meminta petugas hospital untuk merawat pesakit sebaik mungkin serta ikhlas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

"Saya ingin beri nasihat kepada semua warga hospital dan pihak kerajaan tolonglah jaga hospital ini sebaik-baiknya, tolong jaga pesakit betul-betul, khususnya kepada jururawat dan doktor, tolonglah ikhlas bila buat kerja, tanggungjawab dan kalau ada apa-apa masalah hospital tolong lapor kepada kerajaan,"katanya.
 
Baginda bertitah pada Majlis Pengurniaan Kerusi Menunggu kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Lobi Makmur, Kuantan, Pahang.
 
Pada majlis itu, baginda berkenan mengurniakan 160 set kerusi menunggu baharu yang mempunyai 640 buah kerusi keseluruhan bagi menggantikan kerusi yang telah rosak dan juga tambahan untuk keselesaan pesakit yang menunggu giliran di HTAA yang merupakan tempat keputeraan baginda.
 
Baginda turut bercemar duli meluangkan masa hampir satu jam menyantuni pesakit di wad kecemasan, wad kanak-kanak, dan wad pesakit dewasa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE