Tempoh permohonan ke IPT melalui UPUOnline dilanjutkan hingga 13 April

Pelajar dan ibu bapa menerima khidmat nasihat mengenai kemasukan ke IPT, disaksikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi bersama pihak pengurusan tertinggi UUM.

SINTOK, 11 April – Tempoh permohonan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) melalui platform UPUOnline bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilanjutkan sehingga pukul 12 tengah hari, Isnin ini (13 April).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan melanjutkan tempoh permohonan untuk memberi masa tambahan kepada pemohon memilih program dan tempat pengajian yang tepat.
  • Permohonan Fasa 2 bagi calon STPM dan setaraf dibuka pada 13 April.
  • UPUOnline menerima 238,524 permohonan lepasan SPM dan 112,488 lepasan STPM, jumlah keseluruhan 351,012 permohonan.
  • JMU zon utara di UUM melibatkan Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak selama dua hari, platform akses pendidikan tinggi inklusif.

Ia pelanjutan kali kedua selepas pelanjutan pertama sehingga 12 April, berbanding tarikh tutup asal iaitu 23 Mac.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memaklumkan, pelanjutan itu bagi memberi masa tambahan kepada pemohon membuat pilihan tepat berhubung program dan tempat pengajian.

“Bagi calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf pula, permohonan Fasa 2 akan turut dibuka pada 13 April,” katanya.

Sehingga kini, UPUOnline menerima 238,524 permohonan bagi kategori lepasan SPM, manakala kategori lepasan STPM dan setaraf pula sebanyak 112,488 permohonan.

Ini menjadikan seramai 351,012 lepasan sekolah membuat permohonan menerusi platform berkenaan.

Beliau turut memaklumkan, seramai 379,578 orang telah membeli nombor pin UPUOnline.

“Angka ini menunjukkan minat dan kepercayaan tinggi generasi muda terhadap peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi ketika negara berada dalam era perubahan besar seperti Revolusi Industri 4.0, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), peralihan kepada ekonomi digital dan transformasi hijau yang membentuk semula landskap pekerjaan dan kehidupan,” jelas beliau.

Datuk Seri Dr. Zambry berkata demikian sempena majlis perasmian Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) zon utara 2026 di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.

JMU zon utara meliputi Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak diadakan selama dua hari sehingga Ahad, menjadi platform memperluas akses kepada pendidikan tinggi secara inklusif dan menyeluruh.