CYBERJAYA, 17 Februari- Tempoh menunggu rawatan kanser di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia KKM ambil masa 30 hari, bergantung kepada tahap keseriusan pesakit.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun berkata, sekiranya pesakit itu dikenal pasti berdepan kecemasan rawatan akan dilakukan dengan segera.
Beliau berkata, tidak timbul isu pesakit perlu menunggu lama berikutan KKM memiliki sembilan hospital berkaitan kanser.
"Kita ada sembilan hospital yang ada Jabatan Onkologi, sudah tentu yang utama di Hospital Kuala Lumpur diikuti Institut Kanser Negara IKN, Hospital Pulau Pinang, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Likas, Sabah selain mengambil manfaat daripada hospital universiti seperti Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya serta kerjasama dengan hospital lain. Itu yang kita lakukan untuk mengurangkan tempoh menunggu,"katanya.
Jelas Datuk Seri Dr Dzukefly, KKM sentiasa berusaha memastikan setiap insan berpeluang mendapat akses kepada penjagaan kanser yang berkualiti dan tidak mengira apa juga keadaan setiap individu berhak mendapat peluang terbaik untuk melawan penyakit ini.
Menerusi Pelan Strategik Kebangsaan bagi Program Kawalan Kanser 2021-2025, KKM menyediakan perkhidmatan yang komprehensif dalam rawatan kanser.