fb fb fb fb fb

Tempoh menunggu haji dijangka lebih singkat menjelang 2030

Tempoh menunggu untuk menunaikan haji dijangka lebih singkat pada masa akan datang / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 19 Mac - Tempoh menunggu untuk menunaikan haji dijangka lebih singkat pada masa akan datang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata ia sejajar usaha kerajaan Arab Saudi meningkatkan jumlah jemaah kepada lima juta orang menjelang 2030 berbanding dua juta pada waktu ini.

"Apa pun usaha untuk memendekkan tempoh menunggu menunaikan haji, ia tidak boleh lari daripada keputusan pihak Kerajaan Arab Saudi meluluskan kuota haji tahunan untuk setiap negara termasuk Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan di Dewan Rakyat.

Tambah Dr Zulkifli, kuota rasmi negara pada musim haji 1445H/2024 seperti diumumkan sebelum ini adalah 31,600 orang jemaah.

Katanya, permohonan kepada kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan jumlah jemaah, telah dibuat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN