Tembok Laut Padang Kota Lama, Pulau Pinang terima pengiktirafan UNESCO

Projek tersebut menerima anugerah bagi Reka Bentuk Baharu dalam Konteks Warisan dengan pengiktirafan khas untuk pembangunan mampan.

GEORGE TOWN, 21 Februari – Projek Tembok Laut dan Persiaran Esplanade yang melibatkan pemuliharaan dan naik taraf Padang Kota Lama menerima pengiktirafan antarabangsa pada Anugerah Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Asia-Pasifik bagi pemeliharaan Warisan Budaya 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek Tembok Laut dan Persiaran Esplanade Padang Kota Lama terima pengiktirafan UNESCO Asia-Pasifik 2025.
  • Menerima anugerah Reka Bentuk Baharu dalam Konteks Warisan dengan pengiktirafan khas untuk pembangunan mampan.
  • Reka bentuk gabungkan elemen kejuruteraan tradisional dan moden untuk menentang kemerosotan pantai dan perubahan iklim.
  • Pelaksanaan kekalkan nilai sejarah, tingkatkan akses tepi laut dan dijadikan model tadbir urus serta bahan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai memaklumkan projek tersebut menerima anugerah bagi Reka Bentuk Baharu dalam Konteks Warisan dengan pengiktirafan khas untuk pembangunan mampan.

Wong juga berkongsi kenyataan juri yang menyatakan projek itu menetapkan penanda aras nasional bagi pemuliharaan dengan reka bentuk baharu dalam menata semula ruang sivik bersejarah dengan menggabungkan hibrid inovatif elemen kejuruteraan tradisional dan moden dalam menghadapi kemerosotan pantai.

Juri antarabangsa yang terdiri daripada tujuh ahli berkata reka bentuk itu mengekalkan bentuk dan fungsi untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti, menambah baik akses ke kawasan tepi laut dan menyokong pengawasan alam sekitar sebagai tindak balas kepada perubahan iklim.

“Tembok laut baharu itu kini menampilkan persiaran lebar yang menerapkan tipologi abad ke-19 dengan pembinaan granit tradisional, asas cerucuk kepingan tersembunyi dan lapisan batu untuk ketahanan hakisan. Ia menampilkan teres bawah yang tenggelam semasa air pasang besar, mendedahkan tembok laut asal berhampiran Tugu Peringatan Perang Cenotaph.

“Di bawah bimbingan pakar, peningkatan ciri sejarah Esplanade menonjolkan Nilai Universal Cemerlang bagi tapak Warisan Dunia ‘Melaka dan George Town, Bandar Bersejarah di Selat Melaka’. Struktur dwifungsi, bahan tempatan dan tadbir urus pihak berkepentingan dikaji sebagai model di seluruh Malaysia,” kata juri. – Bernama