fb fb fb fb fb

Telegram sedia bekerjasama dengan kerajaan, banteras isu cetak rompak

Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 8 Mei- Telegram bersedia bekerjasama dengan kerajaan dalam membanteras isu cetak rompak digital menerusi platform berkenaan kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Setakat ini pihaknya telah menerima beberapa aduan mengenai filem yang dicetak rompak dan diedar menerusi platform tersebut.

"Ini perlu kerjasama dengan pihak pengedar daripada pemilik hak cipta pemilik serta badan kawal selia seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Pihak telegram sebelum ini mengatakan mereka bersedia untuk bekerjasama.

"Jadi saya harap kita dapat pastikan bukan telegram sahaja tetapi platform yang lain dapat kita banteras cetak rompak digital," katanya kepada pemberita sebelum tayangan khas filem Sheriff: Narko Integriti di ibu negara.

MCMC sudah mengadakan perbincangan secara berkala bersama-sama pihak telegram termasuk isu pemilik hak cipta.

Setakat ini pihaknya sedang menambah baik proses perbincangan kerana ia mengambil sedikit masa termasuklah kekurangan beberapa dokumen yang tidak lengkap untuk diproses.

Kerenah birokrasi itu disebabkan kebanyakan platform tidak berpengakalan di Malaysia menyebabkan mereka kurang memahami undang-undang di Malaysia.

Dalam pada itu Kementerian Komunikasi akan memberi fokus kepada usaha mengembangkan industri perfileman Malaysia ke pasaran Asia Tenggara sebelum melangkah ke peringkat yang lebih jauh.

Fahmi berkata, berdasarkan pemerhatian beliau, industri perfileman Asia Tenggara juga mempunyai potensi yang besar berdasarkan jumlah penduduk di rantau ini.

"Bukankah lebih baik sekiranya filem Malaysia dapat ditayangkan di Asia Tenggara. Malaysia mempunyai 33 juta rakyat... yang tengok filem 10 hingga 12 juta.

"Cuba bayangkan filem kita dapat bawa ke Asia Tenggara yang jumlah penduduknya 660 juta dan saya rasa ia pasaran yang besar. Kita juga ingin menonton filem-filem lain di rantau ini dan ini mungkin kita katakan Road To Asean," katanya.

Justeru, bagi merealisasikan impian itu, pihaknya akan meneliti semula Dana Kandungan Digital bagi membangunkan industri perfileman negara.

Fahmi juga berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sudah diarah untuk mengadakan pertemuan dengan rakan strategiknya di rantau ini.

Beliau berkata ini termasuk pertemuan dengan pengedar filem serta mengundang penceramah supaya usaha dan ikhtiar kerajaan ke arah ASEAN Cinema tercapai.

"Harapan saya sebelum hujung tahun kita dapat jemput semua sebelum Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN.

"Perkara positif dan yang baik hasil perbincangan itu kita akan ketengahkan dalam konteks ASEAN," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI