SEREMBAN, 2 April - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan berjaya merampas sejumlah aksesori telefon jenama antarabangsa bernilai keseluruhan RM47,739, petang semalam.
Menurut Pengarahnya Muhammad Zahir Mazlan, operasi yang diadakan bermula pukul 12 hingga 2 petang itu membabitkan dua premis kedai aksesori telefon bimbit masing-masing di seremban dan seremban 2.
Ujarnya, operasi Barang Tiruan yang disertai wakil cap dagang itu turut merampas 460 bateri dan 140 penutup belakang telefon bimbit.
"Operasi dijalankan bersama wakil pemilik cap dagang selepas risikan dijalankan sejak tiga minggu lepas, difahamkan premis ini beroperasi sejak 2018 dengan diuruskan oleh pemilik berlainan.
"Hasil pemeriksaan, dua lelaki yang mengaku pekerja di premis berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabat KPDN negeri, semalam.
Menurut Muhammad Zahir aksesori itu dijual kira-kira 80 peratus lebih murah daripada harga pasaran selain mendapati pembungkusan barangan juga mirip produk asal.
Pihaknya turut menahan dua lelaki warga tempatan berusia 30 tahun dipercayai pekerja di premis tersebut.
Susulan itu, KPDN membuka satu kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Siasatan juga bagi mengenal pasti pemilik premis terbabit.