KUALA LUMPUR, 2 April - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan komited memastikan lebih ramai golongan belia menceburi bidang pertanian antaranya dengan memberi pendedahan penggunaan teknologi moden seperti pertanian pintar dan dron.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata langkah itu juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk memastikan negara tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing dalam sektor berkenaan.
Beliau berkata, tawaran kemudahan seperti, pembiayaan dan geran dalam sektor tanaman, ternakan dan perikanan turut disediakan.
"Dana pembiayaan dalam usaha meningkatkan aspek pemasaran, permodenan dan meningkatkan pendapatan dan produktiviti pertanian bagi menyokong peningkatan kapasiti pengeluaran pertanian seperti dana pembiayaan agromakanan, geran agro dan geran pemadanan produk berimpak tinggi," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Abdul Nasir Idris yang ingin tahu usaha kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan pekerja asing dalam sektor pertanian serta langkah kerajaan bagi menarik minat rakyat tempatan untuk terlibat dalam bidang berkenaan.
Tambahnya, penyediaan latihan kemahiran turut dilaksana dalam melahirkan tenaga kerja mahir tempatan seperti Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan.