DUBAI, 15 Februari- Perubahan cuaca seperti El Nino di dunia berlaku akibat peningkatan suhu di Lautan Pasifik secara mendadak.
Ia sekali gus mengakibatkan perubahan sistem iklim terutamanya peningkatan suhu dan pengurangan jumlah taburan hujan di Malaysia.
Menurut Pengerusi Kerjasama Air Antarabangsa, Profesor Ashok Swain, ia akan menyebabkan masalah air di beberapa tempat dalam negara ini.
Katanya, bukan sahaja teknologi, tetapi kajian juga perlu dilakukan untuk mengatasi masalah itu.
"Terdapat teknologi baharu yang akan datang. Ada juga cara untuk mengatasi masalah air. Malaysia boleh menggunakan teknologi tersebut untuk meningkatkan bekalan air dan juga mengurangkan permintaan air dan juga guna semula benda yang hendak digunakan. Bukan sahaja ada teknologi, namun kajian juga penting," katanya kepada pemberita menerusi sesi temu ramah secara atas talian di sini.