SERDANG, 22 Februari- Sebanyak 150 benih pokok pisang jenis berangan yang dihasil menggunakan teknologi Kerintangan Sistem Teraruh (ISR) disumbangkan kepada pengusaha ladang yang terjejas banjir di Kampung Bantal, Jerantut, baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Program Teknologi Baja Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Ganisan Krishnen berkata pihaknya turut membantu memulihkan pokok-pokok lama sedia ada dengan menggunakan teknologi berkenaan.
"Kita juga beri penerangan mengenai penggunaan teknologi tersebut dan membuat demonstrasi dengan menginokulasi ISR, Gladiator 1.0 pada pangkal pokok.
"Petani juga didedahkan cara-cara penanaman dan penjagaan pokok yang betul.
"Kita turut bekalkan setengah tan kompos tinja ayam, baja NPK hijau, NPK biru, 'Christmas Island Rock Phosphate' (CIRP) dan kapur (dolomite) untuk penanaman anak benih ISR.
"Penggunaan ISR meningkatkan hasil pisang sehingga 35 peratus kerana ia telah diuji dan terbukti mampu mengawal penyakit darah pisang sehingga 92 peratus.
"Pendekatan ISR ini juga sesuai digunakan untuk penghasilan pisang secara konvensional dan organik,” katanya menerusi kenyataan.
Penerima bantuan, Muhammad Amin Fakhri Ahmad Sukri berjanji akan memanfaatkan sumbangan benih pokok dan teknologi ISR yang diajar MARDI.
"Musibah yang melanda mungkin ada hikmahnya kerana bukan sahaja saya dapat benih-benih pisang yang berkualiti, tetapi yang lebih penting saya dapat ilmu penanaman dan penjagaan pokok yang baik bagi membolehkan saya menghasilkan buah pisang yang bermutu secara berterusan dalam jangka panjang,” kata Muhammad Amin Fakhri.