fb fb fb fb fb

Teknologi dapat menangani cabaran alam sekitar - Nie Ching

Foto BERNAMA

CYBERJAYA, 11 November- Usaha berterusan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar perlu seiring dengan kemajuan teknologi dan pendigitalan dunia hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata kemajuan teknologi penting dalam menangani cabaran alam sekitar.

Bagaimanapun, ia memerlukan usaha untuk memelihara dan memulihkan alam sekitar bagi mengekalkan keseimbangan harmoni antara kemajuan teknologi dan kesejahteraan ekologi.

"Beberapa aktiviti yang memberi kesan negara kepada alam sekitar seperti penggunaan elektrik, penggunaan kenderaan, pengurusan sisa serta penggunaan kertas, secara kolektifnya telah menyebabkan jejak karbon yang setara dengan 40,524 pokok.

"Dalam usaha ke arah masa depan yang lebih hijau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) terus komited dalam mengimbangi pengeluaran karbon daripada aktiviti berkenaan," kata Nie Ching pada Program ‘Carbon Footprint En Route to Nature’ di Taman Tasik Cyberjaya, Selangor.

Sementara itu menurut Ketua Pegawai Operasi MCMC, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, pihaknya bukan sahaja memberi tumpuan kepada kejayaan berterusan dalam pembangunan digital tetapi juga dedikasi yang tinggi terhadap usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Inisiatif itu mampu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara.

Selain itu, program sedemikian juga mampu memupuk semangat cintakan alam semula jadi.

"MCMC turut aktif dalam penganjuran program jangkauan luar melibatkan komuniti, serta program pendidikan melibatkan kelestarian alam sekitar yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar," kata Mohd Ali Hanafiah.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM