PONTIAN, 14 Disember – Kementerian Komunikasi giat menguji teknologi baharu bagi memastikan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa kedua berjalan lancar.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata pendekatan hibrid sedang dipertimbangkan untuk menangani isu capaian internet di 1.8 peratus kawasan berpenduduk yang masih belum menerima liputan, terutamanya di Johor dan Sarawak.
"Demografi negara yang kurang sesuai untuk sepenuhnya memanfaatkan teknologi gentian optik atau kabel memerlukan pendekatan alternatif. Antara teknologi yang diuji adalah peranti jalur lebar tanpa wayar yang menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam ujian awal," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau tapak projek Proof of Concept (POC) Tarana di Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian, di sini.
Tambah Fahmi, ujian teknologi seperti free space optical, microwave, dan penyelesaian akhir menggunakan WiFi turut dilakukan untuk menyediakan sambungan internet kepada komuniti yang sebelum ini tidak mempunyai akses.
“Di Johor dan Sarawak, kelajuan internet yang diperoleh melalui teknologi ini cukup baik, dan kami yakin pendekatan ini dapat membantu menyelesaikan masalah kesalinghubungan di kawasan terlibat,” katanya.
Di Johor, projek peranti jalur lebar tanpa wayar kini dalam fasa percubaan di Kampung Seri Bunian, Pontian dan Sedenak Tech Park, Kulai.
Langkah alternatif itu diambil susulan kelewatan ketara dalam pelaksanaan JENDELA fasa pertama.