BENTONG, 10 Mac- Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian pertanian pintar berperanan besar dalam meningkatkan hasil tanaman serta memberi impak positif kepada ekonomi negara.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata aplikasi terkini yang disokong oleh teknologi 5G membantu menambah baik operasi ladang dan mengoptimumkan penggunaan sumber secara menyeluruh.
“Menerusi penyelesaian pertanian pintar, pemilik ladang sayur-sayuran dan durian dapat mengurangkan pembaziran sumber, mengawal kos, serta membuat keputusan lebih tepat dalam menilai risiko penanaman. Ini bukan sahaja meningkatkan hasil ladang, malah memberi manfaat kepada pengguna dan ekonomi negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa selari dengan perkembangan pesat teknologi, transformasi digital amat penting bagi memastikan sektor perniagaan, termasuk pertanian, kekal berdaya saing.
Gobind berkata demikian dalam ucapan perasmiannya di program Jelajah Digital: 5G Enable Agritech yang berlangsung di Bentong, Pahang.