fb fb fb fb fb

Teknologi 5G Advanced, penggunaan dalam penstriman langsung SUKMA dirancang

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

KUCHING, 26 Mei - Teknologi 5G Advanced atau 5.5G dirancang digunakan dalam penstriman langsung Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak, Ogos ini menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah menerima permohonan daripada syarikat telekomunikasi yang berhasrat bekerjasama dengan RTM bagi tujuan itu.

Sekiranya direalisasikan, kelajuan internet akan lapan kali ganda lebih pantas berbanding 5G sedia ada dan
kelajuan berkenaan diperlukan terutama dalam bidang penyiaran.

“Bezanya ialah kalau di peringkat 5G kita boleh dapat (kelajuan internet) sekitar hampir maksimum 1 Gbps, dengan 5G Advanced dia boleh mencapai lebih lapan Gbps, lapan kali ganda lebih laju," katanya ketika ditemui pada majlis sembang santai bersama Komuniti MADANI, di sini.

Tambah Fahmi, buat permulaan, Kuching dipilih sebagai lokasi kajian lapangan penggunaannya sebelum diperluas ke lokasi SUKMA lain di Sarawak.

"Belum boleh digunakan secara meluas, jadi kita akan buat supaya boleh digunakan secara meluas, jadi kita akan buat sebagai bukti konsep dan ia akan dimanfaatkan di Kuching.

"Kita ada beberapa aspek teknikal yang perlu kita kaji dan ia seperti kajian lapangan, tetapi kita benarkan syarikat telco untuk mengusahakan 5G Advance bagi tujuan kajian lapangan," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN