fb fb fb fb fb

Teater Logtech perkasa pendigitalan, automasi dalam sektor logistik negara

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang (dua, kanan) bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (tiga, kiri) merasmikan Teater Logtech di Univesiti Malaya / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Januari – Teater Logtech, sebuah inisiatif inovatif yang menggabungkan logistik dan teknologi, dirasmikan di Universiti Malaya (UM) sebagai usaha untuk memperkasa pendigitalan dan automasi dalam sektor logistik negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata makmal penyelidikan tersebut bertujuan untuk meningkatkan sinergi antara pihak akademia dan industri.

Ia juga membuka peluang kepada mahasiswa untuk menyumbang penyelesaian terhadap cabaran industri dan mendorong inovasi.

“Saya percaya kemudahan ini akan dapat meningkatkan fokus negara dalam teknologi baharu dan teknologi baharu muncul (emerging technology) dalam meningkatkan kemampuan dan kontrak pintar dalam bidang logistik.

"Teater Logtech bukan sekadar sebuah fasiliti; ia adalah ruang untuk inovasi, pembelajaran, dan kolaborasi dengan memanfaatkan teknologi seperti AI, blockchain, dan IoT,” katanya ketika berucap merasmikan Teater Logtech di Universiti Malaya, di sini.

Makmal Logtech itu merupakan hasil kerjasama antara Infinity Logistic & Transport Sdn. Bhd. dan Universiti Malaya.

Ia menggunakan pendekatan 'flipped classroom' untuk mengoptimumkan pengajaran dan pembelajaran dengan fokus pada digitalisasi industri logistik.

Lih Kang turut menyeru pihak swasta dan industri untuk mengambil inisiatif serupa, agar Malaysia kekal berada di barisan hadapan dalam inovasi logistik dan teknologi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN