fb fb fb fb fb

TDM buka siasatan pegawai kanan tampar, tendang pegawai bawahan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 7 Mac- Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan telah menerima laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan menggunakan kekerasan oleh seorang Pegawai Kanan Tentera Darat yang kini bertugas di Sarawak.

TDM menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, laporan polis yang dibuat oleh pengadu iaitu seorang Pegawai Tentera pada 3 Mac 2024 telah tular di media sosial mendakwa pengadu telah ditampar di bahagian kiri muka dan ditendang di bahagian perut oleh Pegawai Kanan berkenaan sehingga menyebabkan pengadu mengalami kecederaan pada tisu lembut di atas mata dan 'blunt trauma'.

Kejadian berlaku semasa Pegawai sedang menjalani latihan peringkat formasi.

"TDM menegaskan organisasi ini akan menubuhkan Lembaga Siasatan peringkat dalaman untuk mengenal pasti punca-punca kejadian bagi menilai secara profesional dan terperinci berhubung dakwaan tersebut.

"Jika sekiranya terbukti terdapat salah laku dan guna kuasa seperti yang di dakwa, pihak TDM akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan arahan Tentera Darat sedia ada.

"Sebagai tindakan, pegawai kanan berkenaan telah dilepaskan daripada tugas pemerintahan bagi membolehkan Tentera Darat melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh,"jelas kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan memandang serius berkenaan dakwaan ini dan akan berusaha mengenal pasti punca kejadian serta tidak akan berkompromi terhadap pelaku jika terbukti bersalah tanpa mengira pangkat dan jawatan.

"TDM berharap agar semua pihak tidak menularkan laporan berkenaan dan tidak meninggalkan sebarang komen negatif yang boleh mengganggu proses siasatan sehingga selesai dilaksanakan,"menurut kenyataan tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE