SIK, 16 April- Tentera Darat Malaysia (TDM) akan mengambil tindakan susulan sekiranya kontraktor yang dilantik masih gagal membuat penghantaran pertama helikopter Black Hawk selewat-lewatnya hujung bulan ini kata Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Sehingga kini TDM masih belum menerima sebarang perkhabaran berkaitan perolehan aset berkenaan walaupun kontraktor telah berjanji untuk membuat penghantaran pertama bulan ini.
"Kita amat berharap mereka dapat mengotakan janji seperti yang kita sebut sebelum ini. Tempoh penghantaran pun dah terlewat. Sepatutnya kita dapat helikopter pada November lalu.
"Sekarang ini sudah melebihi lima bulan, jadi kita bagi ruang sehingga hujung bulan April. Sekiranya masih tiada ada apa khabar, kita akan ambik tindakan susulan," katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama anggota dan pegawai operasi di Kem Gubir, di sini.
TDM berharap penghantaran peringkat pertama melibatkan sebuah daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat itu pada bulan ini.
Sementara itu, berkenaan projek pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing, Johor, Muhammad Hafizuddeain berkata projek tersebut sudah berada pada 97 peratus dan berbaki tiga peratus lagi untuk disiapkan.
Kelewatan menyiapkan projek itu boleh menjejaskan kebolehupayaan latihan pasukan Gerup Gerak Khas (GGK).
"Tentera darat amat menjungjung kasih Yang di-Pertuan Agong kerana keprihatinan terhadap projek tersebut. Projek berkenaan merupakan projek bawah pengelolaan bahagian Kementerian Pertahanan.
"Agensi pelaksanan adalah JKR. Projek telah mula pada tahun 2018, dan ianya telah lewat tempoh pelaksanaannya. Kita berharap projek ini dapat disiapkan segera," katanya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan TDM (Tentera Darat Malaysia) di sini.
Menurut Muhammad Hafizuddeain, syarikat yang dilantik melaksanakan projek bawah kelolaan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu telah memohon enam kali lanjutan masa (EoT).
EoT terakhir pada 14 April lepas menyebabkan penyiapan projek berkenaan sudah mengalami kelewatan selama 647 hari.