fb fb fb fb fb

TCA Malaysia, Indonesia dan Filipina akan disemak semula - Hishamuddin

KUALA LUMPUR, 27 Mac - Semakan semula persefahaman antara Malaysia, Indonesia dan Filipina menerusi Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) akan turut mencakupi soal keselamatan dalam negeri tiga negara terbabit, sekali gus mengukuhkan lagi hal ehwal pertahanan dan keselamatan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, berkata semakan semula persefahaman tersebut akan diadakan menerusi pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Indonesia dan Filipina sempena pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Nasional (NATSEC) 2022.

Katanya, TCA baharu nanti akan turut merangkumi aspek latihan dan rondaan ketenteraan antara ketiga-tiga negara.

"Untuk keperluan rejuvenation (menghidupkan semula TCA) dan (kerjasama) pertahanan dengan Indonesia serta Filipina, saya putuskan ini adalah terbaik untuk menyemak semula kerjasama trilateral. Pada masa akan datang ia membabitkan keselamatan dan pertahanan", katanya pada sidang media bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas meninjau pameran DSA dan NATSEC 2022 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

(Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein)

"Mungkin kita boleh letakkan juga urusan pertahanan antara tiga menteri dan saya fikirkan dapat juga lebarkan untuk keselamatan dalam negeri, tidak hanya negara", katanya.

Tambahnya, semakan semula TCA penting kerana ketiga-tiga negara berjiran tersebut mempunyai musuh sama yang memerlukan kerjasama erat bagi menumpaskan ancaman di perairan Filipina, Malaysia dan Indonesia, selain isu jenayah rentas sempadan lain.

"Sebelum ini, untuk tangani ancaman yang kita hadapi di perairan Filipina, Malaysia dan Indonesia, bagaimana untuk mengemudi isu geopolitik membabitkan kuasa besar di perairan kita dan keselamatan dalam negeri sudah pasti akan dibincangkan oleh Hamzah serta rakan sejawatannya.

"Ia melibatkan isu penculikan untuk wang tebusan, keganasan dan jenayah lain yang memerlukan tindakan serta kerjasama tiga negara", katanya.

Jelasnya rondaan tentera laut dan udara secara bersama antara tiga negara termasuk latihan (ketenteraan) darat juga akan dibincangkan.

Dijangka 25,000 pengunjung dari lebih 50 buah negara mengambil bahagian dalam pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Nasional (NATSEC) itu yang bermula esok sehingga 31 Mac.

Media Baharu