fb fb fb fb fb

TBS kendali 100 juta penumpang sejak beroperasi 14 tahun lalu

Menteri Pengangkutan menyantuni orang ramai yang ingin pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri ketika sesi lawatan kerja ke TBS hari ini/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 April- Terminal Bersepadu Selatan (TBS) telah mengendalikan kira-kira 100 juta penumpang sejak beroperasi 14 tahun lepas dengan penjualan tiket mencecah RM1 bilion.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata TBS turut komited memperkenalkan penggunaan kod QR dan menambah baik sistem pembelian tiket dalam talian bagi mengurangkan kesesakan di kaunter dan pintu masuk utama balai pelepasan.

Beliau berkata pembelian tiket dalam talian juga menjadi pilihan utama pengguna dengan 70 peratus pembelian dibuat menerusi dalam talian dan selebihnya menerusi kaunter fizikal.

Dalam perkembangan lain, Loke menafikan dakwaan kononnya Kementerian Pengangkutan menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengeluarkan 13,000 saman sita dan 1,500 saman biasa kepada pengguna jalan raya, seperti yang tersebar di media sosial.

"Prinsip kita ialah mengurangkan kemalangan, KPI kita ialah mengurangkan kemalangan jalan raya, bukan mengeluarkan saman, tidak ada KPI keluar saman, tiada KPI dikeluarkan Kementerian kepada Jabatan Pengangkutan Jalan untuk keluar berapa saman, itu KPI yang palsu", katanya dalam sidang media selepas meninjau pengoperasian TBS sempena Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, Loke turut memaklumkan Terminal Bersepadu Gombak dijangka akan mula beroperasi Jun ini dan akan mengadakan lawatan ke terminal berkenaan selepas Aidilfitri ini.

ROSLINA BINTI DIN