fb fb fb fb fb

Tawar kursus pendek berdasarkan bidang tujahan - MQA

Ibu Pejabat Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)/Foto MQA

SEPANG, 21 Mac -Pendidikan tinggi kini tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada kaedah pengajian konvensional, sebaliknya pendekatan alternatif iaitu pendidikan fleksibel perlu segera dijalankan secara proaktif oleh institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, melalui pendidikan fleksibel peluang masyarakat menyambung pendidikan tinggi lebih luas terutama untuk meningkatkan kelayakan dan kemahiran masing-masing.

Jelasnya dalam konteks kursus pendek bersifat micro-credentials, Malaysia berada pada kedudukan tiga teratas bagi negara paling dicari di Google Trend. Justeru prestasi itu perlu dikekalkan untuk menjadikan pendidikan tinggi Malaysia terus cemerlang di persada global.

"IPT tempatan disaran menawarkan seberapa banyak kursus micro-credentials, namun tidak mahu wujudnya persaingan tidak sihat berkenaan penawarannya, justeru mereka wajar menawarkannya berdasarkan bidang tujahan masing-masing.

"Misalnya, Universiti Putra Malaysia (UPM) menawarkan kursus micro-credentials berkaitan pertanian, Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan bidang pengurusan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan keusahawanan dan begitulah yang lain," katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, selaku badan tunggal yang menyelia jaminan kualiti pendidikan tinggi, MQA akan sentiasa meneroka kerjasama dengan agensi akreditasi luar negara.

Namun inisiatif itu perlu mendapat sokongan IPT kita dengan menonjolkan bidang tujahan masing-masing dan micro-credentials menjadi platform yang mempunyai potensi luar biasa.

Tambahnya, sekiranya IPT dapat menawarkan program bertunjangkan bidang tujahan masing-masing, maka akan terhasil senarai kursus micro-credentials yang sangat hebat dan lebih menarik, tersusun serta tidak bertindan kerana semua mempunyai kekuatan tersendiri.

"Dengan adanya senarai sedemikian, mudah untuk IPT menarik minat pelajar yang ingin mengikuti kursus pendek seterusnya melonjakkan imej negara sebagai antara pusat rujukan micro-credentials utama dunia.

"Inisiatif ini, pada masa sama dapat merelalisasikan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global dalam masa terdekat kerana kita mempunyai reputasi yang baik dalam pengajian secara konvensional, justeru kecemerlangan itu perlu diteruskan dalam penawaran micro-credentials.

"Ini kerana micro-credentials akan menjadi kaedah yang dicari-cari pelajar dan masyarakat dunia untuk menuntut ilmu berdasarkan trend pendidikan lebih fleksibel bagi menambah ilmu selain meningkatkan kemahiran tenaga kerja," katanya.

MAT YUNUS BIN SABRI