Tatekelola baik pacu perkembangan ekonomi negara – PM

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 28 Februari – Perkembangan ekonomi negara yang semakin positif ketika ini dipacu oleh amalan tatakelola baik serta usaha berterusan kerajaan dalam membanteras rasuah dan penyelewengan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tatakelola baik sebagai pemacu utama perkembangan ekonomi negara melalui integriti dan pencegahan penyalahgunaan dana.
  • Kejayaan ekonomi hasil kerjasama semua pihak dalam melaksanakan agenda pembaharuan negara.
  • Dasar yang menjana pertumbuhan mesti disusun bersama pandangan pelbagai pihak, bukan usaha menteri sahaja.
  • Kerajaan komited meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui infrastruktur dan kebajikan sosial agar manfaatnya menyeluruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keberhasilan ekonomi ini membuktikan komitmen pertadbiran dalam memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan integriti.

Katanya, kejayaan ekonomi ini juga hasil kerjasama dan kesepaduan semua pihak dalam menjayakan agenda pembaharuan negara.

“Ekonomi mutakhir ini membanggakan. Ringgit terkuat di Asia dan ia bukanlah normal. Tugas kita laksana tatakelola baik, mengelak rompakan harta negara dan hentikan amalan rasuah dan penyelewengan dana.

“Dasar yang menjana pertumbuhan ekonomi, bukan kerja menteri sahaja tapi kerja semua, pandangan diberi agar dapat melakar satu dasar, kita lihat prestasi ringgit, inflasi lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama warga Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi di Dewan Banquet, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Datuk Seri Anwar juga menegaskan, meskipun prestasi ekonomi negara menunjukkan perkembangan positif, namun kerajaan kekal komited meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Ini termasuk menangani isu asas seperti kemudahan infrastruktur dan kesejahteraan sosial agar pertumbuhan dapat dinikmati secara menyeluruh.