PUTRAJAYA, 13 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan rakyat akan terus menikmati lebih banyak manfaat menerusi Belanjawan 2026 tanpa perlu berdepan sebarang kenaikan cukai.
- Tatakelola yang baik mengurangkan ketirisan dan rasuah, meningkatkan hasil negara tanpa beban cukai baharu.
- Hasil lebih besar membolehkan kerajaan memberi manfaat tambahan kepada penjawat awam, pelajar dan kesihatan.
- Keutamaan kepada pembaikan sistem pentadbiran agar cekap, telus dan berakauntabiliti sebelum mempertimbangkan cukai baru.
- Penguatkuasaan berkesan memainkan peranan penting dalam memastikan penggunaan dana awam lebih berdaya guna.
Beliau berkata, perkara itu dapat dicapai hasil pelaksanaan tatakelola yang baik serta penguatkuasaan berkesan dalam mengurangkan ketirisan dan rasuah yang merugikan hasil negara.
“Bayangkan, kita boleh beri lebih banyak manfaat kepada rakyat tanpa menaikkan cukai, termasuk kepada penjawat awam, pelajar universiti dan dalam kemudahan kesihatan. Lazimnya untuk berikan lebih, kerajaan perlu kenakan cukai tambahan.
“Tetapi sebelum memikirkan cukai baharu yang membebankan rakyat, kita perlu perbaiki sistem pentadbiran sedia ada dan pastikan ia cekap serta bebas daripada ketirisan dan rasuah,” katanya.
Datuk Seri Anwar berucap pada Perjumpaan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi Oktober 2025 di sini, hari ini.
Menurutnya, pendekatan itu membuktikan pentadbiran kerajaan yang telus dan berakauntabiliti mampu menjana hasil lebih besar tanpa menambah beban kepada rakyat.