KUALA LUMPUR, 14 Januari –Tasik Cermin salah satu “Ipoh Hidden Gems” menyasarkan sejuta pengunjung pada tahun ini, sekali gus dijangka menyumbang secara signifikan kepada pembangunan komuniti tempatan dan ekonomi negeri. Setakat Disember tahun lalu, Tasik Cermin telah menarik lebih 500,000 pelawat.
Nama Tasik Cermin yang mengambil ilham sempena pantulan jernih tasik menyerupai cermin, menerima pengiktirafan dalam Anugerah Destinasi Pelancongan Mesra Muslim oleh Islamic Tourism Centre (ITC) dan “The Best Accessible Tourism Initiative Award” bersempena Anugerah Pelancongan Perak 2024 baru – baru ini.
Menurut Ketua Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, pengiktiran itu memberi impak kepada industri pelancongan mesra muslim di Malaysia selari pencapaian Malaysia; kekal mengungguli senarai 'Destinasi Mesra Muslim Terbaik' dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2024 dan penganugerahan Malaysia sebagai 'Destinasi Mesra Muslim Terbaik' Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk tahun kedua berturut-turut.
“Kejayaan ini menunjukkan kesungguhan Majuperak Holdings Berhad (MHB) Bersama rakan strategik, STG World Sdn Bhd (STG) dalam menjadikan Perak sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang inklusif dan mesra kepada pelancong dari pelbagai latar belakang agama, bangsa, dan warganegara,” menurut beliau yang juga Pengerusi MHB, dalam satu kenyataan.
Tambah Redza, transformasi Tasik Cermin daripada bekas kuari kepada ikon pelancongan merupakan simbol dedikasi kami terhadap pemuliharaan alam semula jadi dan pembangunan ekonomi Perak.
“Kami berbangga untuk membawa pengalaman unik ini kepada dunia. Bayangkan, hanya dua jam perjalanan dari ibu negara Malaysia, rakyat Malaysia kini dapat menikmati keindahan warisan geologi di Lembah Kinta yang bukan sahaja mempunyai nilai estetik tinggi, tetapi juga mempunyai nilai sejarah.
“Suatu masa dahulu, inilah antara penyumbang utama ekonomi negara dalam perlombongan dan industri timah dan kini ianya telah dibangunkan sebagai pusat pelancongan yang turut menyumbang kepada ekonomi negeri dan Malaysia secara keseluruhannya.
“Ini merupakan suatu inisiatif yang membanggakan buat MHB dan STG kerana telah berjaya memulihara warisan geologi ini sehingga berjaya meraih pengiktirafan dalam anugerah berprestij”, jelas Redza merangkap Pengerusi MHB
Destinasi geopelancongan Tasik Cermin ini mempunyai tiga tarikan gua utama iaitu Tasik Cermin 1, Tasik Cermin 2 dan Gua Mulut Ular. Sejak beroperasi pada tahun 2022, MHB bersama STG memastikan akses dan kemudahan selesa kepada pengunjung dengan menyediakan laluan jalan masuk berturap, parker mencukupi, tandas, surau dan menambah baik fasiliti dan perkhidmatan dari semasa ke semasa.
Selain itu, pihak operator juga turut memastikan persekitaran dijaga memandangkan lokasi ini berusia sekitar 250 juta hingga 480 juta tahun yang diwartakan sebagai antara destinasi dalam Geopark Lembah Kinta.
Kejayaan Tasik Cermin merupakan pengiktirafan atas usaha MHB dalam mengetengahkan kecemerlangan dan merancakkan industri pelancongan. Malahan, ia akan menjadi motivasi untuk kami terus meningkatkan kualiti perkhidmatan, menjadikan produk Tasik Cermin lebih mudah diakses dan menyeronokkan untuk semua pelancong,” tambah Redza.
Selain daripada itu, Kerajaan Perak melalui aspirasi Perak Sejahtera 2030 turut giat membangunkan pelbagai inisiatif pelancongan termasuklah geopark bawah flagship Ekonomi Pengalaman. Justeru, MHB terus komited dalam melaksanakan inisiatif pembangunan hijau dan eko pelancongan khususnya dalam pengurusan geopark bawah inisiatif Pengurusan Aset dan Kemudahan MHB.
Sementara itu, Pengarah Tasik Cermin Ipoh, Ng Seong Ping berkata, “pihak STG berkerjasama erat daripada pihak MHB untuk terus menggiatkan usaha mempromosikan Tasik Cermin dengan menawarkan pakej - pakej yang bersesuaian mengikut pelbagai peringkat umur.
PIhaknya juga turut menambah lebih banyak aktiviti outdoor dan program – program menarik sepanjang tahun ini, merangkumi ATV, Perak Food Fiesta, Hari Geologi Sedunia, Tasik Cermin Run dan sebagainya untuk dinikmati para pengunjung.
“Bagi tujuan tersebut kami akan memastikan kakitangan yang terlibat diberi latihan dan pendedahan yang secukupnya bagi menjamin keselamatan dan keselesaan semua pihak,” Jelas Ng Seong Ping.
“Sempena musim cuti sekolah yang akan bermula pada 17 Januari hingga 15 Februari 2025 ini, kami ingin menjemput semua rakyat Malaysia untuk hadir ke Tasik Cermin bagi menikmati pengalaman yang menarik serta menikmati pelbagai aktiviti menarik yang kami sediakan di sini," katanya.