KLANG, 23 Mei- Tarikh pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel akan dilaksana tahun ini, namun tarikh pelaksanaannya masih belum dimuktamadkan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan itu tidak melibatkan penghapusan atau pemansuhan.
Sebaliknya, penyasaran semula subsidi yang melibatkan dua komponen utama iaitu penyelarasan harga diesel di stesen-stesen minyak dan di luar stesen minyak khususnya kepada golongan sasar yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap bahan api berkenaan.
"Secara prinsipnya Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi bahan api diesel pada tahun ini.
"Namun selagi jemaah menteri belum berpuas hati dengan mekanisme penyasaran tersebut, termasuk dalam sistem dan penentuan kumpulan sasar untuk bantuan sosial tersebut, maka kerajaan belum lagi menetapkan tarikh," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan kad armada (Fleet Card) kepada syarikat pengangkutan darat di bawah projek Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 di Klang Utara, Selangor.