fb fb fb fb fb

Tarif elektrik tidak dinaikkan, demi menjaga kebajikan rakyat - Annuar Musa

JOHOR BAHRU, 29 Januari - Keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan tarif elektrik kepada lebih sembilan juta pengguna domestik bertujuan menjaga kebajikan rakyat secara menyeluruh, terutamanya yang terjejas akibat COVID-19 dan banjir.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata keputusan itu menyebabkan kerajaan perlu meneruskan subsidi lebih RM700 juta bagi memastikan rakyat tidak perlu membayar bil tambahan.

"Bukan tidak naik itu ertinya tiada kos kepada kerajaan, tidak. Kerajaan perlu ambil satu dana lain untuk memberikan subsidi supaya Tenaga Nasional (TNB) kekal sebagai penjana yang kukuh. Kita tidak mahu ada masalah dia bankrap, rugi dan sebagainya," katanya kepada media selepas diminta mengulas keputusan kerajaan tidak menaikkan tarif elektrik.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke RTM Johor.

Jelasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sentiasa meletakkan rakyat nombor satu dan tidak mahu menambah beban rakyat yang sudah terjejas akibat COVID-19.

Sebelum ini, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) memaklumkan kerajaan akan mengumumkan tarif baharu elektrik bagi 2022 hingga 2024 dan sudah dibincang di peringkat kabinet.

Ia susulan peningkatan kos bahan api dan kos penjanaan sebanyak RM1.67 bilion antara 1 Julai hingga 31 Disember akibat kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran.

 

Media Baharu