fb fb fb fb fb

Tarif air: Negeri Sembilan umum tarif baharu berkuat kuasa 1 Februari

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN, 17 Januari- Tarif baharu air bagi kategori domestik di Negeri Sembilan dinaikkan 29 peratus iaitu pada kadar antara 16 dan 24 sen bagi setiap meter padu bermula 1 Februari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia melibatkan 478,836 akaun dengan 409,219 daripadanya merupakan akaun pengguna domestik.

Kali terakhir pelarasan dibuat pada 2002. Tarif baharu tersebut perlu bagi menampung peningkatan kos operasi air membabitkan bahan kimia selain penyelenggaraan yang meningkat.

"Kalau kita lihat bahawa di kadar pertama yang 20 meter padu itu naik 29 peratus, kadar 20 hingga 35 padu 28 peratus dan lebih daripada 35, 50 meter padu adalah 17 peratus. Jadi apa yang penting bagi kita hari ini adalah peningkatan ini rasanya tidak naik selama 22 tahun dan rasional untuk dinaikkan.

"Kita juga sedia maklum bahawa kos-kos yang 22 tahun ini telah meningkat banyak. Kalau kita syarikat lain apa barang sekali pun telah meningkatkan harga mereka dan kita dipihak Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) memang tidak mampu lagi untuk kita meneruskan dengan kadar yang sedia ada", katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban.

Tambahnya, bagi penggunaan kurang daripada 20 meter padu, kadar baharu yang ditetapkan adalah 71 sen berbanding 55 sen sebelum ini yang merupakan peningkatan 29 peratus iaitu sebanyak 16 sen.

Beliau yang juga Pengerusi Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) berharap, kadar baharu tarif air tersebut diharap dapat membantu SAINS memperbaiki perkhidmatan air di Negeri Sembilan.

Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan kadar tarif air menerusi Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.

ROSLINA BINTI DIN