fb fb fb fb fb

Tarif AS: Malaysia perlu perluas pasaran eksport

Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan, nilai eksport komoditi negara ke Amerika sekitar RM20 bilion daripada keseluruhan RM186 bilion

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Malaysia bersedia menangani cabaran tarif 25 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat terhadap produk komoditi tempatan dengan meneroka pasaran baharu dan memastikan eksport negara terus berkembang.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata kerajaan sentiasa proaktif berunding di peringkat antarabangsa serta yakin sektor komoditi negara mampu kekal berdaya saing walaupun berdepan tekanan global.

“Dalam dunia ini kita ada lebih 190 negara, takkan satu negara buat Malaysia macam ini, kita rasa tak boleh bertahan.

"Kita perlu perluas dan mempelbagaikan pasaran eksport kita," katanya ketika ditemui wartawan pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Sukan baharu di Taylor’s International School Kuala Lumpur (TISKL).

Beliau menjelaskan, meskipun nilai eksport komoditi negara ke Amerika sekitar RM20 bilion daripada keseluruhan RM186 bilion, kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengadakan rundingan.

"Persoalannya sekarang Amerika mahu caj kita (menaikkan tarif import) dan kita boleh buat apa? Tidak boleh buat apa.

"Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) sudah berunding selama 90 hari sebelum ini, dan Amerika beri tempoh lanjutan hingga 1 Ogos.

"Pada masa sama, mereka naikkan (tarif) daripada 24 peratus kepada 25 peratus. Jadi kita tunggulah dan Kabinet dijangka membincangkan isu ini, esok," katanya.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK