fb fb fb fb fb

Tarif AS: Malaysia perlu guna strategi berkesan

Prof Dr Azmi Hassan/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 Mei– Malaysia perlu memastikan strategi rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berkesan dalam usaha mengurangkan tarif yang dikenakan negara itu.

Menurut Felo Majlis Profesor Negara, Prof Dr Azmi Hassan, sebagaimana tarif tidak dikenakan ke atas produk seperti semikonduktor, pertimbangan serupa juga wajar diberikan kepada produk-produk lain yang berpotensi menyumbang kepada perdagangan dua hala.

"Kalau kita lihat sekarang, produk elektronik seperti semikonduktor tidak dikenakan cukai 24 peratus, kerana semikonduktor itu amat diperlukan oleh AS.

"Jadi, kita buktikan melalui landasan bahawa bukan sahaja barangan semikonduktor, tetapi juga barangan elektronik lain yang banyak kita eksport ke AS perlu turut dikurangkan cukainya. Begitu juga dengan kelapa sawit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pemberita RTM di sini.

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menyatakan keyakinan terhadap kemungkinan mencapai perjanjian dengan Washington.

Keyakinan itu lahir selepas pertemuan beliau bersama wakil perdagangan AS, Jamieson Greer, semasa perhimpunan menteri-menteri perdagangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Tengku Datuk Seri Zafrul berkata Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai penyelesaian menang-menang bagi kedua-dua negara.

Kerajaan juga menegaskan rundingan itu penting untuk menyokong industri utama negara seperti aeroangkasa, semikonduktor, serta sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM