KUALA LUMPUR, 9 Januari- Keputusan untuk menangguhkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, buat masa ini, adalah wajar.
Ia sejajar pendirian kerajaan untuk lebih mengutamakan projek berpaksikan rakyat, selain mengambil kira kekangan dari segi pembiayaan.
Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad, projek tersebut perlu dinilai dari segi aspek dan prospeknya daripada semasa ke semasa, agar tidak membebankan negara.
"Jadi, dalam konteks ini apabila kita tidak dapat mencapai jumlah bilangan penggunaan rakyat Malaysia daripada zon utara, selatan ataupun zon tengah bagi HSR ini, apa yang kita khuatir dan kita risaukan adalah jika kos operasi itu pada akhirnya terpaksa ditanggung oleh negara.
"... kerana kerajaan terpaksa memberi subsidi bagi menampung kos yang sedia ada dan ini akan memberikan satu tamparan hebat ataupun besar kepada sektor kewangan negara yang sedia ada", katanya kepada RTM.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan untuk menghidupkan semula projek HSR bergantung kepada pembabitan sepenuhnya sektor swasta tanpa membebankan kerajaan.
Jelasnya, komitmen kerajaan membabitkan projek mega terpaksa ditangguhkan pada masa ini kerana perlu menyelesaikan beberapa isu tertunggak.
Sementara itu, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menyatakan keterbukaan terhadap cadangan baharu dari Malaysia, namun ia harus dimulakan semula daripada awal.