fb fb fb fb fb

Tangga ke-13 Indeks Pemulihan COVID-19, PM zahir penghargaan kepada Keluarga Malaysia, jangan sesekali alpa

KUALA LUMPUR, 13 Januari - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada Keluarga Malaysia atas pencapaian negara menduduki tangga ke-13 Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei Asia.

Menerusi catatan di Facebook rasminya, Ismail berkata pencapaian itu adalah hasil daripada kerja keras dan semangat penyatuan setiap ahli Keluarga Malaysia bersama-sama menempuhi wabak itu.

"Alhamdulillah, Malaysia memperoleh 66.5 mata dalam Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei Asia yang tertinggi bagi negara ASEAN dan tangga ke-13 daripada 122 negara atau wilayah.

Indeks pencapaian ini mengambil kira aspek pengurusan jangkitan, pelaksanaan pemberian vaksin dan mobiliti sosial," katanya.

Beliau turut merakamkan perhargaan kepada seluruh Keluarga Malaysia termasuk wira-wira negara iaitu #frontliners yang bertungkus lumus memelihara rakyat dan negara daripada ancaman wabak COVID-19.

"Ya, kita berada dalam tempoh pemulihan negara daripada musuh dunia iaitu COVID-19.

Pelbagai cabaran dan dugaan sudah kita tempuhi, namun semangat sebagai sebuah Keluarga perlu sentiasa utuh demi mencapai kemakmuran bersama.

Walaupun kita mencapai indeks yang terbaik, namun kita jangan sesekali alpa. Sentiasa menjaga keselamatan diri, keluarga dan masyarakat di sekeliling kita," jelasnya.

Perdana Menteri mengakhiri catatan itu dengan menulis #KeluargaMalaysia #BekerjaBersamaRakyat.

Media Baharu