KUALA LUMPUR, 27 Oktober - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang memperkenalkan konsep bina kemudian jual untuk projek pembangunan hartanah pada tahun hadapan.
Menterinya Ng Kor Ming berkata, pihaknya akan mengadakan sesi libat urut dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Redha) bagi menangani isu tersebut.
Kor Ming berkata ia sebagai langkah dalam usaha mengurangkan projek-projek sakit berbanding sistem jual-kemudian-bina.
“Pilihan yang paling baik adalah bina dan kemudian jual, bukan jual dan kemudian bina. Saya akan membincangkan dengan Rehda mengenai insentif model perniagaan baharu bagi membolehkan pemaju membina dan seterusnya menjual rumah-rumah baharu.
“Ini bagi memastikan tiada lagi projek-projek terbengkalai di masa depan kerana hanya dibenarkan menjual rumah yang sudah siap,” katanya.
Kor Ming berkata kepada pemberita selepas melancarkan Ekspo Perumahan Hartanah Malaysia (MAPEX) 2023 di sini, pada Jumaat.
Tambah beliau setakat ini sebanyak 17 daripada 24 projek sakit di bawah pemantauan kementerian itu telah dipulihkan.
"Pasukan petugas khas KPKT telah menghidupkan semula 256 projek bernilai RM23.37 bilion setakat Ogos tahun ini.
"Sebanyak 28,863 pembeli berjaya diselamatkan dan memastikan tiada lagi projek yang terbengkalai," katanya sambil menambah sebanyak 9,500 unit rumah mampu milik dijangka siap di bawah Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) tahun ini.
MAPEX 2023 berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 29 Oktober di Pusat Pameran Mid Valley.
Ekspo itu disertai oleh 44 pempamer yang merangkumi pemaju, institusi kewangan dan agensi kerajaan.