KUALA LUMPUR, 6 Disember- Subsidi Bersasar akan mula dilaksana pada tahun hadapan bagi menangani isu kenaikan harga ayam di pasaran.
Jelas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, ia dijangka mampu membantu mengurangkan impak kenaikan harga ayam di masa hadapan.
Selain terus melaksanakan libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta pemain industri bagi mencari solusi terbaik terhadap isu berkenaan.
"Jadi ia satu pendekatan seluruh negara dan kita sentiasa berbincang dengan kementerian-kementerian lain. Di masa yang sama, kita juga menekankan tentang peranan pengguna. Bagaimana pengguna boleh menentukan kuasa beli mereka beli atau tidak, seperti yang Kerajaan Perpaduan laksanakan sepanjang tahun 2023, inisiatif Payung Rahmah akan diteruskan pada tahun 2024," kata Fuziah di Dewan Negara di sini.
Tambahnya, sekiranya harga ayam terus meningkat, kerajaan mempunyai pelbagai mekanisme bagi memastikan tiada elemen pencatutan di pasaran.