KLANG, 5 Februari - Sultan Selangor mahu Klang menjadi bandar raya yang boleh dibanggakan menerusi imej bersih dan memiliki daya tarikan warisan bersejarah.
Bertitah ketika menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang, Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap Klang membangun ke tahap lebih cemerlang.
Di samping itu, Datuk Bandar dan Ahli Majlis perlu mengambil serius serta mengatasi masalah banjir.
"Seperti yang kita semua sedia maklum, masalah banjir sering berlaku di daerah klang terutama pada setiap musim tengkujuh.Situasi ini terjadi adalah disebabkan daerah Klang terletak di sepanjang laluan Sungai Klang daripada hulu ke hilir sebelum air sungai ini menuju ke laut.
"Sekiranya berlaku air pasang besar dan dikuti pula dengan hujan yang lebat, banjir besar akan melanda sebahagian daripada daerah Klang dan akan menjejaskan kehidupan penduduk yang terlibat," titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menitahkan agar 50 peratus daripada Ahli Majlis dalam Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) terdiri daripada golongan profesional.
Baginda berpandangan, bukan sahaja ahli politik, golongan profesional yang pakar dalam bidang tertentu juga diperlukan di dalam pembangunan sesebuah bandar.
"Jumlah golongan profesional perlulah sekurang-kurangnya memenuhi 50 peratus dari jumlah keseluruhan ahli majlis.
"Di samping itu ahli-ahli majlis juga perlu menggambarkan komposisi kaum dan populasi sesuatu kaum yang menetap di bandaraya klang agar semua kaum dapat diwakili oleh wakil mereka mengikut jumlah yang berpadanan dengan jumlah sesuatu kaum," titah baginda.