SUNGAI PETANI, 14 Februari- Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, begitulah nasib yang menimpa bekas posmen, Muhammad Sofi Abd Ghani, 45 tahun.
Beliau yang dulunya seorang yang aktif, kini redha dengan ketentuan ilahi.
Bukan sahaja menghidap kanser tulang hingga menyebabkan tangan kanannya terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya, malah kanser telah merebak ke bahagian buah pinggang.
Peristiwa terjatuh di tempat kerja di sebuah pejabat pos di Sungai Petani pada tahun 2020 hingga menyebabkan tangan kanannya patah, menjadi detik hitam dalam hidupnya apabila disahkan menghidap kanser tulang tahap dua.
Beliau sekali lagi diuji apabila doktor pakar mengesahkan beliau turut menghidap kanser buah pinggang tahap empat, menyebabkan buah pinggang sebelah kiri terpaksa dibuang.
Semasa menjalani rawatan kimoterapi dari tahun 2020 hingga 2023, sel kanser datang kembali menyerang seluruh tulang tangan kanan.
Bagi mengelak kanser merebak ke bahagian anggota badan yang lain, tangan kanannya terpaksa dipotong sehingga ke paras bahu pada 9 Januari lalu.
Biarpun dugaan demi dugaan menimpa, Muhammad Sofi yang turut menghidap penyakit jantung, kencing manis, dan darah tinggi terus cekal dan bersemangat untuk meneruskan kehidupan bersama isteri dan enam orang anaknya.
“Kalau ikut tu memang saya kalah dah sebab tu saya jumpa dengan Puan Zuraini Kamal (Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM)), banyak bagi motivasi kat saya..bagi kaunseling dekat saya, dia kata Sofi mati bila-bila masa kita boleh mati, takkan ''you' (awak) nak mati takkan 'you' nak berserah macam ni saja. Dia ada ubat, kanser ni ada ubat dia kata..tapi you kena tempuhlah…” katanya ketika ditemui RTM di rumahnya di Kampung Sungai Jagung, Sungai Layar di sini.
Beliau kini hanya bergantung harap kepada pencen ilat sebanyak RM1,400 sebulan bagi menampung perbelanjaan termasuk kos perubatan dan barangan keperluan harian keluarga.
Selain itu, wang pencen itu juga turut digunakan untuk menampung perbelanjaan lima orang anaknya yang berusia enam tahun hingga 19 tahun yang masih bersekolah.
Manakala anak sulungnya baru sahaja menamatkan pengajian di Kolej Komuniti.
Isteri Muhammad Sofi, Nor Rafidah Ahmad, 45 tahun, turut berhenti kerja sebagai juruukur sepenuh masa bagi memberi fokus untuk menjaga suaminya yang memerlukan perhatian rapi.
“Lepas berhenti tu dalam masa setahun saya berhenti lepas tu saya kerja balik. Lepas kerja balik tu dia kena jantung bulan 4 tahun ini (lepas) terus berhentila pasal memang nak kena pantau dia masa dia tidur pun nak kena pantau sebab tiap-tiap pagi masa tu dia kena makan ubat bawah lidah. Jadi nak tinggal pun doktor kata kalau boleh jangan tinggallah. Masa tu saya berhenti teruslah kata kat dia, ambil keputusan berhenti," kata Rafidah.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Muhammad Sofi di talian 012-4365677.
Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Mohamad Sofi Abdul Ghani bernombor 02119-29-81321351-1.