KUALA LUMPUR, 15 Oktober- Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang meneliti dan melakukan kajian di sekitar kawasan kejadian tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati bagi menentukan sama ada kawasan terbabit selamat atau sebaliknya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti 11 keluarga yang mendiami 16 kediaman daripada 20 unit rumah di kawasan yang terkesan akibat kejadian itu.
"Manakala empat lagi unit kediaman didapati tidak berpenghuni," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata semua penduduk yang terkesan telah diarah berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di AU 2 Keramat.
"Mangsa akan ditempatkan di PPS sehingga kawasan kediaman ini disahkan benar-benar selamat dan apabila kerja pembersihan selesai, penduduk boleh membawa keluar kenderaan mereka ke kawasan selamat," katanya.
Selain itu, kerja pembersihan di kawasan terbabit sedang giat dilakukan Majlis Perbandaran Ampang Jaya serta Pejabat Tanah Gombak.
Pihaknya juga akan menempatkan pegawai dan anggotanya bagi mengawasi sekitar kawasan kediaman itu sepanjang proses pembersihan berlangsung.