fb fb fb fb fb

Tanah runtuh Sg Ruil: 16 keluarga terjejas terima kunci kuarters sementara

FOTO JAKOA

CAMERON HIGHLANDS, 7 Februari- 16 keluarga terjejas akibat tanah runtuh di Sg Ruil, Cameron Highlands menarik nafas lega selepas menerima kunci kuarters penempatan sementara bermula 1 Februari lalu daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang.

Mereka sebelum ini dipindahkan daripada kediaman masing-masing setelah berlaku runtuhan tanah dalam kejadian pada 12 Oktober tahun lalu.

Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) dalam satu kenyataan memaklumkan, majlis penyerahan tersebut telah dilaksanakan pada 5 Februari lalu yang disampaikan oleh Pengurus Besar TNB Pahang Datuk Baderul Sham Saad sebagai simbolik penyerahan kunci Kuarters TNB Sg Ruil kepada pihak JAKOA.

Majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Cameron Highlands merangkap Timbalan Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, ADUN Tanah Rata, Ho Chi Yang, serta Ketua Pengarah JAKOA Datuk Sapiah Mohd Nor.

Tambah JAKOA, pelbagai bantuan oleh agensi berwajib telah disalurkan bagi meringankan beban 16 keluarga yang terjejas.

Malah, kejadian tanah runtuh itu turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah turun melawat ke lokasi berkenaan serta menyantuni penduduk terlibat yang berteduh di Dewan Komuniti Sg Ruil pada 6 Januari lalu.

Pihak JAKOA juga turut berterima kasih kepada pihak TNB yang telah menjalankan kerja-kerja baik pulih kuarters melibatkan cat, pemasangan wayar dan paip secara CSR dengan nilai RM103,000 dan pengecualian deposit sewaan selama tiga bulan.

Malah, pihak TNB turut menyampaikan sumbangan berupa periuk nasi elektrik bagi setiap ketua isi rumah yang mendiami kuarters tersebut sehingga kerja-kerja pembaikan cerun dijangka selesai pada November 2025.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE