KOTA KINABALU, 14 September - Dua rumah di Kampung Kopungit di sini rosak selepas tujuh runtuhan tanah berlaku di kawasan berkenaan sejak semalam.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah dalam kenyataan memaklumkan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan susulan kejadian itu.
“Pemeriksaan Jabatan Mineral dan Geosains mendapati struktur tanah di lokasi berkenaan tidak stabil dan berisiko berlaku runtuhan susulan sekiranya hujan berterusan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Bagi langkah keselamatan, dua keluarga terbabit telah diarahkan berpindah ke Balai Raya Kampung Kopungit.
Pasukan Bomba Kota Kinabalu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Mineral dan Geosains Sabah terus menjalankan pemantauan berterusan di kawasan terjejas.