CAMERON HIGHLANDS, 27 Januari - Kesemua lima mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Batu 59, Kampung Raja di sini berakhir, apabila dua mayat terakhir ditemui petang tadi.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli berkata, mayat mangsa keempat ditemui pada pukul 6.10 petang, diikuti mangsa kelima pada pukul 6.50 petang.
"Mayat keempat yang dikenal pasti sebagai Shing Law Har, 56, dijumpai di sektor D, manakala menantunya, Om Myu, 37, pula ditemui antara sektor C dan D.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di sini hari ini.
Katanya, dengan penemuan kesemua mangsa, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 9 malam.
Seramai 250 anggota dan pegawai yang terlibat dalam operasi tersebut yang dianggotai terdiri daripada 17 gensi termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) serta Unit Anjing Pengesan (K9) bomba.
Menurut beliau, pihaknya tidak menerima laporan berkaitan kehilangan mangsa lain.
Semalam, RTM melaporkan kejadian tanah runtuh di kawasan kebun sayur yang membabitkan dua buah rumah pekerja warga Myanmar kira-kira 2.40 pagi Jumaat.
Rumah itu dihuni kesemua mangsa empat lelaki dan seorang wanita warganegara Myanmar.